DALAM kehidupan, kita sering menghadapi pelbagai masalah dan keadaan
yang ada kalanya membawa kepada kekusutan fikiran. Akibat terlalu
tertekan dengan masalah keduniaan boleh menjerumuskan seseorang ke
lembah landasan yang bertentangan dengan kehendak agama.
Sebenarnya sebagai seorang hamba Allah kita ditunjukkan oleh
Rasulullah SAW dengan pelbagai kaedah dalam menjernihkan hati dan
mententeramkan jiwa. Antaranya ialah dengan berzikir. Apakah yang
dimaksudkan dengan berzikir?
Zikir menurut pengertian bahasa bermakna ‘ingat’. Jadi, berzikir itu
ialah kita mengingati Allah dengan menyebut nama-Nya melalui pendekatan
tasbih, tahlil, tahmid atau bacaan lain. Maksud zikir secara khusus
ialah ucapan yang dilakukan melalui perantaraan lidah, mengingati Allah
dengan hati atau melaksanakan sesuatu perbuatan dengan niat kerana
Allah. Dengan berzikir akan mendorong dan menyedarkan kita untuk
melakukan segala perintah Tuhan dan menghindari larangan-Nya. Ini secara
tidak langsung akan mempertingkatkan mutu iman dan menambahkan rasa
ketakwaan.
Allah sangat menyukai orang yang lidahnya sentiasa basah dengan
zikrullah. Ingatlah bahawa Allah sudah menjanjikan ganjaran pahala yang
banyak kepada orang yang berzikir. Hal itu jelas apabila Allah berfirman
yang bermaksud: “Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada
Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.”
– Surah Al-Ahzab ayat 35
Jadi rebutlah peluang yang dijanjikan Allah itu agar kita sentiasa
mendapat hidayah dalam kehidupan dan hati berada dalam keadaan damai
tenteram. Allah menyatakan melalui firman dalam Surah Ar- Ra’d ayat 28
yang bermaksud: “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan
tenang.” Oleh itu, kita boleh menjadikan zikir sebagai wadah untuk
menenangkan hati kita. Segala keserabutan fikiran dan kekeruhan hati
kita damaikannya dengan berzikir. Insya-Allah hati kita akan kembali
menjadi setenang air di tasik.
Pesan Imam Al-Bukhari: ‘Zikir adalah tugas harian setiap Muslim
kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Berzikirlah setiap masa
agar Allah sentiasa ingatkan kita setiap masa.’ Demikian indahnya wasiat
beliau kepada kita semua. Biasakanlah hati dan lidah kita berzikir
kepada Allah kerana inilah yang dituntut Allah kepada kita. Allah ada
berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: ‘Kemudian
apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu
menyebut dan mengingati Allah ketika kamu berdiri atau duduk, dan ketika
kamu berbaring.’
Insya-Allah melalui zikir kita dapat menyembuhkan penyakit hati daripada karat debu dosa yang dilakukan. Berzikir juga Allah janjikan akan mengangkat darjatnya seperti dikatakan oleh Rasulullah SAW: “Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong leher kamu!” Kemudian sekalian sahabat bertanya: “Apakah itu wahai Rasul?” Baginda SAW menjawab: “Zikir kepada kepada Allah.” – Hadis riwayat Al- Baihaqi
Menurut Syeikh Hakim Moinuddin Chisti, melalui zikir seseorang itu akan mendapat 10 kebaikan.
Antaranya ialah
[1] seseorang hamba itu akan dapat membentengkan diri daripada bisikan syaitan.
[2] Selain itu orang yang berzikir akan dilimpahi keredaan Allah,
[3] dimurahkan ruang rezekinya,
[4] membangkitkan aura sahsiah peribadi murni,
[5] dapat menghidup dan menjernihkan hati.
[6] Demikian juga katanya mukmin yang senang berzikir itu akan mencapai taraf hampir dengan Allah,
[7] mengelakkan diri daripada sifat mazmumah seperti mengumpat dan mengeji.
[8] Manfaat lain ialah seseorang itu akan berupaya membina fikiran yang positif, dinamik
[9] dan bersedia hidup penuh berani.
[10] Terakhir yang dikirakan amat penting kepada kita ialah dapat menenggelamkan sifat munafiq.
Begitulah hikmah berzikir menurut pendapat Syeikh Hakim Moinuddin Chisti.
Jadi, marilah kita bersama-sama menjadikan takwim harian kita dengan
memasukkan zikir yang perlu dan mesti dilaksanakan. Insya-Allah dengan
berzikir, aura dan tenaga kebangkitan jiwa dan kejernihan hati yang
luhur dapat dizahirkan. Insya-Allah.
(saya petik : http://epondok.wordpress.com)